Tuesday, April 27, 2010

Insentif galak teknologi hijau

Najib pertimbang beri pelepasan cukai kepada sumbangan alam sekitar

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menimbangkan insentif pelepasan cukai bagi sumbangan kepada dana alam sekitar dan potongan cukai bagi bangunan atau reka bentuk menggunakan teknologi hijau serta mesra alam. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berkata butir terperinci akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2011 nanti.
Beliau berkata insentif itu dapat menggalakkan syarikat meneroka dan mengguna pakai teknologi hijau, dalam operasi mereka di samping meningkatkan keyakinan institusi perbankan memberi pinjaman bagi projek berkaitan teknologi hijau selain memupuk amalan hidup mesra alam di kalangan rakyat.

Berucap merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010, di sini semalam, Najib yang juga Pengerusi Majlis Tenaga Hijau, berkata kerajaan mahu lebih banyak syarikat memperkenalkan peralatan mesra alam menggunakan teknologi terkini pada kos rendah untuk kegunaan umum, sekali gus menggalakkan rakyat membudayakan teknologi itu.

Katanya, enam perkara atau singkatannya 'AFFIRM', mencakupi aspek kesedaran, fakulti, kewangan, infrastruktur, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan serta pemasaran menjadi asas penting bagi ekosistem yang lengkap dan holistik dalam aspek pemuliharaan alam sekitar secara mapan.

Pada masa sama, beliau belum berpuas hati dengan pengeluaran pinjaman untuk syarikat yang terbabit dalam teknologi hijau yang dananya sebanyak RM1.5 bilion ketika diumumkan dalam Bajet 2010.
Bercakap pada sidang media kemudian, Najib berkata institusi kewangan sukar meluluskan pinjaman untuk sektor teknologi hijau mungkin kerana mereka belum cukup yakin dengan potensi pembangunan teknologi hijau dan beliau akan meneliti masalah itu.

"Kita harus faham teknologi hijau masih baru dan belum terbukti keberkesanannya. Justeru, faktor risiko adalah tinggi dan memerlukan kajian terperinci berhubung potensi serta daya saing.

"Bagaimanapun, kegagalan dalam teknologi baru seumpama itu tidak wajar dianggap sebagai penghujung sesuatu projek kerana setiap kegagalan ada pengajaran yang perlu kita belajar bagi menjamin kejayaan dalam percubaan seterusnya,” katanya.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; isteri beliau, yang juga Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Forum diadakan sebagai tanda sokongan terhadap kenyataan Najib di Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim pada Disember tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata setiap wakil rakyat perlu prihatin pada isu berkaitan kesejahteraan dan kualiti hidup kerana masyarakat banyak bergantung kepadanya.

Tambahan pula, isu alam sekitar dan kualiti hidup amat diminati pengundi, terutama golongan muda yang inginkan kerajaan dan wakil rakyat menunjukkan keprihatinan dan berpendirian tegas dalam isu itu.

Dipetik daripada Berita Harian

0 comments: